Pada hari ini dalam tahun 1971, persidangan menteri-menteri bagi Pembangunan Ekonomi Asia Tenggara telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Persidangan 3 hari itu dihadiri oleh perwakilan dari negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam, Laos dan termasuk perwakilan dari Jepun. Persidangan Menteri-Menteri bagi pembangunan ekonomi itu adalah untuk mencari jalan bagi mewujudkan usaha sama demi keselamatan dan pembangunan dalam segala bidang di Asia Tenggara.
Antara perkara-perkara yang dibincangkan dalam persidangan ini ialah:-
Menyusun rancangan kerjasama serantau untuk melatih dan membentuk ekonomi dan sosial.
Mewujudkan masyarakat yang sempurna dan makmur melalui sumber bumi.
Menggembelingkan tenaga manusia dan sumber alam dalam usaha membangunkan ekonomi negara di rantau ini.
Mengadakan rancangan pertukaran belia antara negara-negara serantau untuk persefahaman bersama.
dan menegaskan kedudukan Asia Tenggara sebagai rantau yang berkecuali dalam pergolakan politik antarabangsa.
Pada hari ketiga persidangan ini perwakilan negara-negara yang mengambil bahagian telah berikrar untuk bekerjasama dengan penuh semangat muhibbah dan persahabatan. Mereka juga bersetuju bahawa keselamatan dan keamanan adalah faktor penting dalam melaksanakan pembangunan ekonomi di Asia Tenggara. Negara Jepun pula telah berjanji untuk membantu negara-negara Asia Tenggara dalam menghadapi masalah ekonomi dan sosial. Sidang telah menghargai tawaran Malaysia untuk mengadakan perkhidmatan sekretariat bagi kerjasama di rantau ini dalam hal-hal perancangan keluarga. Manakala Bank Pembangunan Asia akan menimbangkan cadangan mengadakan peruntukan pinjaman dari tabung khasnya bagi rancangan kredit untuk petani-petani dan nelayan dari negara-negara anggota. Sidang juga bersetuju supaya dibentuk sebuah pusat perkembangan perdagangan, pelaburan dan pelancongan bagi Asia Tenggara. Dengan adanya Persidangan Menteri-Menteri bagi Pembangunan Ekonomi Asia Tenggara pada hari ini dalam tahun 1971, satu kerjasama serantau akan dapat dicapai demi untuk kemajuan dan pembangunan ekonomi di rantau ini.
Persidngn pekrja ladang2
No comments:
Post a Comment